PSG 4 AMIENS 1

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, percaya Neymar dan Kylian Mbappe mendorong sesama sendiri untuk memacu kemenangan 4-1 ke atas Amiens di Parc des Princes awal pagi tadi.


Mbappe menjaringkan dua gol manakala Neymar turut tersenarai selaku penjaring sebelum Mauro Icardi melengkapkan kemenangan PSG.

Sepanjang bulan ini, PSG telah menjaringkan 22 gol daripada enam kemenangan dengan Mbappe (enam gol) dan Neymar (lima) muncul penjaring terbanyak mereka.

Ditanya sama ada gandingan itu boleh menjadi lebih bagus, Tuchel tidak pasti bagaimana untuk menjelaskannya sambil memuji kedua-dua penyerangnya itu.

"Apakah maksudnya? Lebih baik? Mereka beraksi dengan amat baik bersama-sama. Mereka meningkatkan keyakinan dan kecergasan, itulah perkara paling penting," katanya dalam sidang media.

"Mereka bertahan dengan keamatan yang tinggi, mereka amat berbahaya ketika bersama kerana mereka gemar beraksi bersama.

"Mereka amat rapat di atas padang dan kami mahukan mereka bermain seperti itu.

"Kami mahu 10 pemain yang boleh bermain bersama di atas padang. Apa yang lebih baik?

"Mungkin untuk mengekalkan cara itu.

"Kami memerlukan semangat yang sama, gaya yang sama, keinginan yang sama untuk menang, untuk menjaringkan gol, untuk bekerjasama apabila kami memulakan separuh kedua musim ini.

"Itulah cabaran untuk mengekalkannya dalam setiap perlawanan, berada di atas padang dan bekerjasama.

"Ia juga akan memberikan lebih banyak tenaga," katanya.

Tuchel menambah: "Neymar, selepas minit ke-88, dia bertahan dari jarak 20 ela di depan gawang gol kami dan menutup ruang.

"Dia banyak berlari untuk bertahan, ia amat hebat.

"Dia dalam fasa yang bagus.

"Neymar mendorong Mbappe dan Mbappe mendorong Nermar, ia bagus.

"Dengan pemain lain, kami beraksi sebagai satu pasukan.

"Cabarannya adalah untuk mengekalkan semangat dan cara itu," katanya lagi.