Neymar kembali perkuat PSG, Tuchel rungut Le Classique terlalu awal

Oleh Muzaffar Musa 13 September 2020 135
Neymar kembali perkuat PSG, Tuchel rungut Le Classique terlalu awal
Neymar hampir pasti dapat diturunkan ketika Paris Saint-Germain (PSG) menentang Marseille dalam perlawanan Le Classique yang disifatkan Thomas Tuchel sebagai terlalu awal bagi saingan Ligue 1 musim ini.

Selepas pulih daripada koronavirus, penyerang Brazil, Neymar, kembali menjalani latihan dengan PSG dan kelihatan akan terlibat dalam perlawanan besar di Parc des Princes itu awal pagi esok.

Dia terlepas perlawanan di mana pasukannya tewas 0-1 kepada Lens dalam perlawanan pembukaan musim ini.

Neymar antara bintang pasukan itu yang tidak dapat diturunkan dalam perlawanan berkenaan selepas positif COVID-19 tetapi dia bersama Keylor Navas (penjaga gol), Angle di Maria dan Leandro Parades kini disahkan negatif virus itu.

Mereka bersama pemain baru, Alessandro Florenzi, sedang berada dalam perancangan untuk diturunkan menentang Marseille ketika Tuchel masih menantikan sehingga latihan ringan terakhirnya untuk mengeluarkan senarai pemain itu.

"Kami tidak akan mengambil sebarang risiko," kata Tuchel.

"Itu bukanlah apa yang kamu mahu lakukan. Selepas dua hari latihan, jika pemain sudah bersedia dan tiada risiko kesihatan, kami akan membuat keputusan.

"Saya tidak perlu bertanyakan sama ada mereka mahu beraksi atau tidak tetapi saya akan membuat keputusan.

"Ia persoalan sama ada mereka akan memulakan perlawanan itu di atas padang atau di bangku pemain simpanan," katanya.
 

Jurulatih berbangsa Jerman itu tidak faham mengapa Liga Perancis mahu meletakkan perlawanan tumpuan itu pada awal musim ini.

"Saya agak terkejut perlawanan penting ini akan berlangsung pada hari perlawanan ketiga," kata Tuchel dalam sidang media.

"Saya fikir perlawanan seperti ini sepatutnya dilangsungkan pada Oktober atau November ini apabila kedua-dua pasukan sudah mendapatkan rentak.

"Semua orang mahukan kemenangan pada tahap terbaik mereka tetapi ia tidak mungkin dalam perlawanan kedua Ligue 1.

"Secara peribadi, saya tidak faham dengan keputusan ini," katanya lagi.

 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen