Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, mendakwa Neymar gembira bersama pasukannya sambil hubungannya dengan penggempur itu kini semakin baik.

Neymar terlibat dalam spekulasi perpindahan mega awal tahun ini tatkala harapan untuk kembali ke Barcelona lebur sebelum tarikh akhir.

Peminat PSG memberikan bintang Brazil itu sambutan dingin selepas kembali beraksi bersama skuad utama tetapi dia bangkit menerusi beberapa persembahan hebat.

Tatkala jendela perpindahan bulan depan semakin hampir, Tuchel menegaskan bahawa Neymar, 27, berada di landasan terbaik untuk memahatkan namanya di ibu negara Perancis itu.

"Di antara dia dan saya, tidak banyak perubahan yang ada," katanya.

"Dia diterima dalam bilik persalinan. Dia hebat dan sedang menambahkan kekuatan fizikal ketika ini.

"Dia memiliki jiwa yang besar. Dia sayangkan bola sepak dan beraksi bersama pasukan yang bersaing. Kami menikmatinya, ia hebat."

Tatkala Tuchel mengesahkan akan melakukan penggiliran dalam pasukannya, Neymar bakal direhatkan dalam aksi Piala Liga Perancis menentang Le Mans awal pagi esok.

"Pertemuan ini juga memberikan tempoh permainan buat sesetengah pemain.

"Le Mans sangat agresif dan mampu menghasilkan gol. Saya jangkakan pasukan yang berani dalam persekitaran sebegitu.

"Kami harus menghormati lawan. Terpulang kepada kami untuk menunjukkan kualiti sebenar sambil tiada apa yang akan merugikan Le Mans."

Tuchel juga mendedahkan kegembiraannya mengenai undian Liga Juara-Juara Eropah selepas PSG diundi menentang bekas majikan pengurus itu, Borussia Dortmund, dalam aksi pusingan 16.

"Dalam pusingan 16, apa sahaja boleh berlaku. Dortmund adalah pasukan hebat di Jerman.

"Ia perlawanan istimewa buat saya. Saya mempunyai ramai kenalan, tiga tahun tinggal di sana dan ia adalah stadium yang hebat."