PSG 6 RED STAR BELGRADE 1

Neymar menyifatkan kemenangan 6-1 Paris Saint-Germain (PSG) ke atas Red Star Belgrade dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi, sebagai aksi terbaiknya musim ini, baik secara peribadi mahupun keseluruhannya.


Penyerang Brazil itu menyumbat dua gol pantas untuk meletakkan PSG di hadapan di Parc des Princes manakala gol seterusnya disumbangkan Edinson Cavani, Angel Di Maria dan Kylian Mbappe sebelum Neymar menyempurnakan jaringan hatriknya pada minit ke-81 menerusi sepakan bebas memukau keduanya dalam perlawanan tersebut.

Kemenangan itu meletakkan PSG kembali di puncak Kumpulan C selepas tewas 2-3 kepada Liverpool dalam aksi pembukaan.

Sehubungan itu, Neymar memuji prestasi pasukannya selepas dia mencatat gol keenam dalam tiga perlawanan terakhirnya di semua peringkat pertandingan.

"Kami telah bermain bola sepak yang lebih baik," katanya.

"Kami menunjukkan keinginan untuk menang dan bermain dengan gaya tersendiri untuk memenangi perlawanan.

"Kami tahu ia akan menjadi sukar tapi kami bermain dengan tempo yang lebih tinggi yang didorong keinginan yang tinggi untuk menang dan akhirnya kami memenangi perlawanan."

PSG akan mengharungi dua perlawanan Ligue 1 sebelum menyambung perjuangan dalam UCL apabila bakal berdepan Lyon dan Amiens di Paris sambil perlawanan antarabangsa pula bakal menjengah.

Napoli menjadi cabaran seterusnya kepada anak buah Thomas Tuchel itu di Eropah, justeru Neymar menyatakan mana-mana kelab yang bakal berdepan jaguh Perancis itu akan berdepan mereka dalam bentuk prestasi terbaik.

Ditanya sama ada prestasi menentang Red Star adalah aksi terbaiknya musim ini, dia berkata: "Ya, setakat ini.

"Bukan hanya permainan terbaik saya, malah pasukan juga.

"Tidak penting sama ada saya menjaringkan gol atau tidak, saya hanya mahukan pasukan saya menang sungguhpun peluang menyumbat gol akan menjadikan saya lebih bahagia."