Manuel Neuer memiliki keyakinan meskipun wujud kebimbangan mengenai kemampuannya untuk mewakili Jerman dan Bayern Munich pada 2018.

Pemain berusia 32 tahun itu menempuhi kempen Piala Dunia Russia yang sukar selepas kembali daripada kecederaan kaki yang panjang, menyaksikan juara bertahan itu terkandas di peringkat kumpulan.

Persembahan Neuer bersama Bayern juga dipersoalkan musim ini -- penjaga gawang itu dibolosi lapan kali dalam lapan percubaan tepat dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Begitupun, Neuer kekal menegaskan bahawa dia tidak tersinggung dengan sebarang kritikan sambil memberitahu sidang akhbar: "Itu perkara lama, tiada yang baru.

"Saya berada dalam keadaan yang baik, saya mengharungi perlawanan yang baik ketika menentang (Borussia) Dortmund. Saya yakin."

Neuer mungkin direhatkan dalam perlawanan persahabatan membabitkan Jerman dengan Russia minggu ini tetapi dia dijangka akan beraksi menentang Belanda, Isnin depan, dalam misi pasukan kendalian Joachim Low tersebut memburu kemenangan pertama dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah.

"Kami mahu menamatkan perjuangan tahun ini yang tidak menyebelahi kami dengan catatan yang tinggi, iaitu memenangi kedua-dua perlawanan," katanya. "Kami optimis kami boleh melaksanakan tugas yang baik dalam kedua-dua perlawanan. Menentang Belanda, kami mahu menang, itu sudah pasti."

Rakan sepasukannya, Leroy Sane, percaya pertembungan dengan Russia akan menjadi medan yang baik buat pemain muda seperti Julian Brandt, Leon Goretzka dan Thilo Kehrer bagi perebutan tempat dalam kesebelasan utama untuk berdepan Belanda nanti.

"Anda dapat lihat bahawa pemain muda mula mendapat peluang," kata pemain sayap Manchester City itu.

"Jogi Low sering melakukannya, termasuk pemain-pemain muda. Untuk berdepan Russia, kami sudah bersedia untuk membuktikan kemampuan dan meletakkan tekanan."