Manuel Neuer dan Thomas Muller berpendapat Bayern Munich patut yakin untuk menundukkan Chelsea dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Juara Bundesliga itu diundi menentang skuad kendalian Frank Lampard itu dalam ulangan aksi final musim 2011/12 yang menyaksikan Chelsea menang menerusi tendangan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 di Munich.

Neuer dan Muller beraksi dalam perlawanan yang mengecewakan Bayern itu sebelum menebus kekecewaan dengan tiga trofi dalam musim berikutnya, termasuk kemenangan ke atas Borussia Dortmund di pentas final Liga Juara-Juara di Wembley.

Tatkala Bayern kini semakin kembali meraih prestasi terbaik sejak Hansi Flick bertindak selaku pengurus sementara menggantikan Niko Kovac, Neuer yakin pasukannya mempunyai keyakinan tinggi menjelang aksi itu.

"Kami bersedia untuk ke London, tempat di mana kami meraih beberapa pengalaman yang bagus," katanya.

"Mereka lawan yang berbahaya, kami perlu memandang serius dan memerlukan fokus.

"Jelas sekali kami mahu ke pusingan seterusnya. Saya fikir kami boleh menuju perlawanan itu dengan penuh yakin. Kami gembira dengan undian itu, menentang pasukan yang menarik dan bagus."

Bagi Muller, aksi final pada 2012 tidak mempunyai kaitan dengan pertemuan kali ini.

"Jelas sekali anda tidak akan menerima mana-mana pasukan kecil dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara. Kami yakin. Saya berasa bagus dengan undian itu."