Manuel Neuer bersedia untuk memperkasakan Bayern Munich dalam kunjungan ke Cologne Ahad ini apabila kembali berlatih, semalam.

Penjaga gol dan kapten Bayern itu tidak dapat mengikuti sesi latihan kelmarin akibat jangkitan usus, tetapi dia kelihatan sihat untuk mengekalkan rekod penampilan berterusannya pada Bundesliga musim ini.

Berita itu memberi rangsangan buat pengurus sementara, Hansi Flick, yang bakal kehilangan tonggak, Javi Martinez dan Niklas Sule, bagi pertembungan dengan skuad kendalian Markus Gisdol, manakala bek kiri, David Alaba, dijangka akan pulih daripada masalah otot kecilnya.

Keputusan seri tanpa jaringan dengan pencabar terdekat, RB Leipzig, minggu lalu memastikan Bayern kekal di tangga teratas, namun Flick memberi amaran kepada pasukannya bahawa mereka tidak sepatutnya menunjukkan kelemahan dalam tempoh ini.

Flick mengenal pasti Cologne, yang duduk di tempat ke-13, sebagai sebuah pasukan yang menunjukkan peningkatan ketara sejak awal tahun ini.
Sebelum Gisdol mengambil alih jawatan pengurus pada November lalu, Cologne hanya memenangi dua daripada 11 perlawanan liga manakala tewas dalam lapan perlawanan termasuk dibelasah 4-0 di Bayern.

Namun, mereka kini dalam prestasi memenangi lima perlawanan manakala kalah tiga kali, dan ia mengundang Flick untuk mengulasnya dalam sidang akhbar malam tadi: "Mereka telah meningkat sejak pelantikan Markus Gisdol.

"Cologne merupakan pasukan yang kadang-kadang boleh mengancam dan menghukum lawan, kami tidak mahu membiarkannya berlaku."

Flick turut bercakap mengenai senario persiapan Bayern terhadap "minggu Inggeris", di mana mereka perlu beraksi pada hujung dan pertengahan minggu.

Menjelang komitmen mereka dalam Liga Juara-Juara (UCL) dan piala domestik, mereka bakal mengharungi jadual padat sepanjang baki kempen musim ini.

Pengendali itu juga gembira melihat Kingsley Coman dan Lucas Hernandez semakin pulih daripada kecederaan lutut.

"Kami masih tidak tahu sekiranya mereka sudah bersedia selama 90 minit," katanya lagi.

"Sudah tentu mereka memerlukan latihan. Kami mahu semua pemain berada di tahap 100 peratus sebaik minggu Inggeris bermula."

Apa yang telah menggembirakannya ketika ini ialah cara komunikasi dalam kalangan pemainnya.

"Kami mahu semua orang bersuara," kata Flick.

"Buat masa ini, ia berfungsi dengan baik. Pemain juga merujuk kepada saya, ia satu 1tanda yang bagus dan penting."