Nazirul Naim sedar peranannya kali ini cukup penting

Oleh Staff Writer 5 Oktober 2016 9
Nazirul Naim sedar peranannya kali ini cukup penting
Pertahanan skuad Harimau Malaysia, Nazirul Naim Che Hashim, berharap kehadirannya mampu memberi keseimbangan kepada pasukan, terutama di bahagian pertahanan, untuk perlawanan persahabatan menentang Singapura, Jumaat ini. 

Nazirul terpaksa diketepikan dalam pertemuan dengan Indonesia di Solo, Indonesia, 6 September lalu ekoran kecederaan.

Ketiadaan pemain Perak itu menyaksikan benteng skuad negara pincang tanpa pertahanan kiri tulen, apabila posisi itu digalas Mohd Azrif Nasrulhaq, yang sebenarnya lebih kerap beraksi di bahagian kanan.

Diaibkan 3-0 di hadapan ribuan penyokong skuad Garuda, Nazirul sedar peranannya kali ini cukup penting untuk mengembalikan maruah skuad negara.

"Insya-Allah, saya perlu berusaha lebih keras lagi untuk kali ini, sebab keadaan pasukan sekarang ini (terumbang-ambing). Mungkin pemain yang ada lebih baik untuk bermain pada Jumaat ini," katanya.

Kali terakhir Nazirul beraksi bersama skuad negara adalah ketika bertemu Macau pada Mac lalu.

Bekas tonggak Harimau Muda ini bakal menjadi pemain paling sibuk berikutan keputusan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, menggugurkan seorang lagi pertahanan kiri, Ahmad Khuzaimi Piee, dari pasukan Melaka.

"Mereka mempunyai beberapa pemain yang perlu kami awasi untuk perlawanan nanti. Itu terpulang kepada jurulatih untuk menentukan corak taktikal," tambahnya.

Selain Nazirul dan Azrif, kapten Selangor, Shahrom Kalam, Khairul Helmi (Kedah), Shahrul Saad (Perak), Fadhli Shas (Johor Darul Ta'zim) dan Rizal Ghazali (Kedah), adalah pemain pertahanan yang dibawa ke Singapura.

Perlawanan di antara Singapura dan Malaysia akan disiarkan secara langsung di Astro Arena, saluran 801 dan 802 HD, bermula dengan pra-rancangan pada jam 8.00 malam.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen