Keinginan Kylian Mbappe untuk bekerjasama dalam pasukan telah menarik minat rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG), Keylor Navas.

Penjaga gol PSG, Navas, menyertai juara Ligue 1 itu pada penghujung jendela perpindahan September lalu dengan mengikat kontrak selama empat tahun di ibu negara Perancis berkenaan.

Pemain berusia 32 tahun itu pernah menjulang tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah bersama Real Madrid dan berharap pengalamannya di peringkat tertinggi Eropah itu dapat dimanfaatkan oleh skuad kendalian Thomas Tuchel berkenaan untuk mengorak langkah sama.

Mbappe telah menghasilkan lapan gol daripada sembilan penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini dan keberkesanan pemain berusia 20 tahun itu di bahagian serangan memberikan Navas lebih banyak sebab untuk terus berharap.

"Dia pemain yang amat muda dan melakukan sesuatu yang amat luar biasa pada usianya," kata penjaga skuad kebangsaan Costa Rica itu dalam sidang media menjelang perlawanan Ligue 1 dengan Dijon awal pagi esok.

"Ditambah dengan apa yang kita sedia maklum dan kita dapat lihat, dia menggunakan bakatnya untuk mendorong pasukan dengan kualiti setiap gerakan yang bagus dan bahasa tubuh yang tepat."

Selepas kepulangan Gianliuigi Buffon ke Juventus dan perpindahan Alphonse Areola ke Madrid, Navas telah menyesuaikan diri sebagai penjaga gol utama PSG.

"Saya sudah berada di sini untuk beberapa minggu. Penyesuaian saya amat baik di kelab ini, dengan rakan sepasukan dan kejohanan.

"Saya gembira. Keputusan berjalan lancar dan kami berkembang setiap hari.

"Saya tiba di sini dengan rendah hati tetapi berkeinginan untuk membuktikan sesuatu.

"Saya mahu membawa sifat kepimpinan saya di atas padang dan membantu semua orang bergerak ke depan," tambahnya.

PSG akan melalui perlawanan ke-12 Ligue 1 itu dengan kelebihan 18 mata di atas Nantes selaku pendahulu liga dengan sembilan kemenangan dan dua kekalahan sepanjang musim ini.