Maurizio Sarri percaya pendahulu Serie A, Napoli, memerlukan lebih daripada 90 mata untuk mengalahkan juara bertahan, Juventus, dalam perebutan Scudetto pada musim ini.

Napoli kekal berkelebihan tiga mata di puncak liga selepas kemenangan 3-1 ke atas Sassuolo di laman sendiri, semalam.

Skuad Sarri belum mengalami kekalahan musim ini, dengan memenangi 10 daripada 11 perlawanan pembukaan mereka, dengan menjaringkan 32 gol dan bolos hanya lapan kali.

Tetapi Sarri menegaskan perjalanan masih jauh untuk Napoli mengejar gelaran Serie A pertama sejak 1989-90.

"Buat masa ini, ramalan itu agak mustahil. Saya tidak fikir pasukan-pasukan atas boleh terus mengekalkan rentak ini," kata Sarri.

"Banyak pasukan lebih kecil akan mendapat pemain baru atau mereka akan mencari rentak permainan mereka. Selepas ini, perlawanan akan menjadi berbeza, lebih sukar. Ia akan melambatkan, bukan hanya untuk kami tetapi untuk mana-mana pasukan yang ingin memenangi gelaran.

"Kami perlu mempunyai lebih daripada 90 mata untuk memenangi kejuaraan," katanya.

Napoli akan menguji kekuatannya dengan menentang salah sebuah pasukan elit Eropah, Manchester City -- yang menewaskan mereka 2-1 pada 18 Oktober lalu -- dalam perlawanan Liga Juara-Juara, Rabu ini.

Selepas kekalahan itu, Napoli terikat tanpa jaringan dengan Inter, dan Sarri berasa pasukannya seolah-olah lebih pedulikan Serie A.

Berikutan kemenangan ke atas Sassuolo pada hujung minggu, Sarri menambah: "Memikirkan tentang Liga Juara-Juara sebagai penghalang adalah tidak adil.

"Liga Juara-Juara adalah petandingan terbesar di dunia untuk kelab dan kami bangga menjadi sebahagian daripadanya. Itulah sebabnya kami perlu bermain dengan keazaman tinggi.

"Ia jelas kami lebih memikirkan di mana tempat kami lebih berdaya saing dan berusaha keras. Itulah bahaya yang boleh berlaku jika anda tidak mahu.

"Tidak mudah untuk menentang Man City, tetapi ia akan menjadi hebat. Sekarang, City adalah pasukan terbaik di Eropah," katanya lagi.