RB LEIPZIG 2 HERTHA BERLIN 2

Julian Nagelsmann mengecam kegoyahan pertahanan RB Leipzig pada awal permainan ketika menghadapi Hertha Berlin sebelum membidas Liga Bolasepak Jerman (DFL) berhubung jadual Bundesliga.


Leipzig terlepas peluang untuk merampas tangga kedua selepas seri 2-2 dalam aksi di tempat sendiri awal pagi tadi.

Gawang pasukan yang mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) itu dirobek voli Marko Grujic yang tidak dikawal susulan sepakan sudut pada minit ke-9.

"Saya sama sekali tidak berpuas hati. Kami harus menyalahkan diri sendiri," katanya. "Kami perlu belajar agar tidak selalu ketinggalan.

"Pada mulanya, kami bertahan seperti budak sekolah. Ia satu kekecewaan yang amat besar."

Leipzig masih berpeluang untuk merebut tiga mata apabila mencetak gol pertama melalui Lukas Klostermann sebelum jaringan Rune Jarstein dan Patrik Schick menjadikan kedudukan 2-1.

Selepas itu, rentak tuan rumah mula terjejas ekoran kad merah terhadap Marcel Halstenberg selepas melewati sejam permainan.

Krzysztof Piatek kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-82 untuk Hertha mengekalkan rekod tanpa kalah sejak pelantikan Bruno Labbadia bulan lalu.

Begitupun, Nagelsmann sudah menjangkakan Leipzig akan bergelut memandangkan mereka terpaksa menentang Mainz Ahad lalu, dua hari selepas Hertha Berlin merakamkan kemenangan 'derby'.



"Sukar untuk mempamerkan persembahan kami seperti biasa; bagi kami, ini bagaikan 'minggu Inggeris' (jadual padat) pertama setelah berbulan-bulan," katanya.

"Ini bukan 'minggu Inggeris' buat Hertha. Mereka sempat berehat selama empat hari. Saya tidak faham bagaimana perlawanan ini dijadualkan. Hertha beraksi pada Jumaat sedangkan kami pula perlu bermain pada Ahad lalu sebelum perlawanan ini.

"Itulah sebabnya kami beraksi buruk. Penjadualan ini sempat saya bahaskan dalam pertemuan bersama DFL, tetapi tidak siapa pun yang berminat."

Labbadia pula agak gembira biarpun Hertha gagal menewaskan lawan yang beraksi dengan 10 pemain itu.

"Kami beraksi dengan sangat bagus. Kami memberi reaksi setelah ketinggalan 1-2," katanya.

"Ia kebangkitan yang hebat.

"Kebiasaannya ia satu tamparan yang hebat. Namun, kami menunjukkan tindak balas yang mengagumkan dan berhak meraih lebih daripada satu mata."