Muller kembali sertai latihan Bayern selepas pulih COVID-19

Oleh Muzaffar Musa 26 Februari 2021 51
Muller kembali sertai latihan Bayern selepas pulih COVID-19
Thomas Muller kembali menyertai sesi latihan Bayern Munich semalam selepas keputusan positif dalam ujian saringan COVID-19 menyaksikan dia terlepas perlawanan final Piala Dunia Kelab.

Pemain tengah menyerang itu didapati positif koronavirus hanya bebeapa jam sebelum Bayern menewaskan Tigres UANL 1-0 untuk dinobatkan sebagai juara Piala Dunia Kelab di Qatar pada 11 Februari lalu -- yang turut memaksanya menjalani pengasingan kendiri.

Selepas dua minggu tidak bersama pasukannya dan kini sudah bebas daripada virus itu, Muller kembali menjalani latihan di pusat latihan kelab itu dan kelihatan sudah mula mendapatkan semula rentaknya.

Bayern mengumumkan dalam laman web rasmi mereka: "Muller dibenarkan untuk kembali berlatih di  Sabener Strasse buat kali pertama semalam selepas sekian lama menjalani pengasingan kendiri di rumah susulan didapati positif COVID-19.

"Selepas ujian kesihatan pada sebelah pagi, pemain berusia 31 tahun itu telah melengkapkan sesi individunya di atas padang di samping latihan pasukan di bawah seliaan jurulatih kecergasan, Prof Dr Holger Broich."
 
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen