Penyerang Bayern Munich, Thomas Muller dan ketua jurulatih Hansi Flick kecewa dengan prestasi juara Bundesliga itu ketika meraih kemenangan tipis 2-1 di Cologne semalam.

Muller memberikan Bayern gol pembukaan dengan penalti sebelum Serge Gnabry berjaya menjadikan kedudukan 2-0 sebelum tamat separuh masa pertama sekaligus menjadi gol kemenangan pasukan.

Cologne kembali mengurangkan defisit jaringan dan menikmati permainan merekan ketika berdepan Bayern yang turun tanpa khidmat Robert Lewandowski.

Baik Muller mahupun Flick tidak mengagumi persembahan Bayern, apabila membicarkan mengenai komunikasi di atas padang.

"Itu adalah kemenangan yang sukar, terutama kerana kami melepaskan peluang untuk menjaringkan gol ketiga pada awal separuh masa kedua," kata Muller.



"Apa sahaja yang boleh berlaku sehingga wisel penamat. Ia bukan prestasi yang gemilang atau glamor. Kami akan menerimanya sebagaimana adanya.

"Kami pastinya sering kehilangan bola dengan cuai dan bertindak terlalu santai semasa perlawanan. Cologne bertahan dengan baik dalam perlawanan ini.

"Bagaimanapun, Bayern boleh mempamerkan permainan yang lebih klinikal dalam beberapa keadaan dan mendapat lebih banyak jaringan. Kesungguhan ada untuk meraih kemenangan bersama kami. Saya tidak mengkritik diri sendiri, tetapi kita pasti boleh bermain dengan lebih baik."

Flick berkata pula, "Ia adalah kemenangan yang wajar pada akhirnya, tetapi kami menyukarkan hidup kami. Perlawanan ini memakan banyak tenaga. Saya gembira dengan hasilnya, tidak begitu dengan permainan."


Di sebalik prestasi yang kurang memberangsangkan, Bayern kini telah menang 31 daripada 32 perlawanan dalam semua pertandingan, hanya gagal melakukannya ketika aksi kedua Bundesliga 2020-21 ketika tewas 4-1 kepada Hoffenheim.

Dua gol yang terhasil di Cologne menjadikan Bayern berjaya meraih jaringan ke-24 dalam saingan liga musim ini, rekod yang terhasil selepas enam perlawanan.