Penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, tidak menganggap kekuatan skuad negara semakin menurun, sebaliknya menganggap kelibat muka muka baru dalam pasukan Harimau Malaysia sebagai senjata rahsia yang tidak dijangka oleh pihak lawan.

Selaku pemain berpengalaman, Kharul Fahmi tidak pernah terlepas menyaksikan jatuh bangun skuad negara sepanjang tempoh enam tahun kebelakangan ini.

Khairul Fahmi mengakui barisan terkini skuad negara tidak melibatkan pemain yang sudah memiliki nama, sebaliknya rata-rata mereka masih mentah dengan aksi di peringkat antarabangsa.

Namun, dia tidak menganggap itu kelemahan Malaysia, sebaliknya melihat perkembangan ini dari sudut positif dengan melabelkan inilah senjata rahsia skuad negara yang perlu diawasi pihak lawan.

"Negara lain masih tidak tahu akan kualiti yang dimiliki muka baharu skuad negara. Jadi, saya rasa itu sesuatu yang baik untuk pasukan negara.

"Saya rasa pemain yang belum pernah beraksi di AFF akan menunjukkan mereka mampu menggantikan pemain sebelum ini," jelasnya.

Pada masa yang sama, kedudukan Khairul Fahmi turut dicabar oleh seorang lagi penjaga gol negara yang sedang meningkat naik, Kharul Azhan Khalid.

Khairul Fahmi melihat cabaran itu sebagai motivasi terbaik untuk dia memastikan dia masih relevan untuk kesebelasan utama Malaysia.

"Persaingan sangat positif untuk pasukan kerana adanya persaingan barulah masing-masing akan cuba membuktikan yang mereka ini benar-benar layak untuk mewakili negara."