Jose Mourinho memahami mengapa Harry Kane bergegas untuk beraksi dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu tetapi beliau tidak bersedia untuk mengambil sebarang risiko terhadap kecederaan terbaru yang melanda penyerang Tottenham itu.

Ketua pasukan England itu terpaksa dipinggirkan sejak 1 Januari lalu ekoran kecederaan hamstring yang memerlukan pembedahan.

Spurs bergelut untuk mencipta jaringan sepanjang ketiadaan pemain bintang mereka itu, namun semalam Mourinho mendedahkan pemain berusia 26 tahun itu pulih lebih awal dari jangkaan asal dan berpeluang beraksi pada penghujung kempen ini.

Begitupun, kelab itu tidak mahu mengambil sebarang risiko seperti musim lalu selepas penggempur itu beraksi dalam final UCL, kurang lapan minggu selepas mengalami kecederaan ligamen buku lali.




"Kempen Tottenham tidak akan berakhir pada Mei depan," kata pengurus Portugis itu kepada pemberita.

"Tottenham akan terus bertahan untuk tahun-tahun akan datang, jadi kami sama sekali tidak akan memperjudikan nasib Harry dalam situasi yang sukar.

"Dia akan kembali sebaik sudah bersedia."

Namun, Mourinho tidak menyalahkan pengurus terdahulu, Mauricio Pochettino, memandangkan dia memahami keinginan pemain-pemain untuk beraksi dalam final kejohanan utama.

"Jika saya berpeluang beraksi dalam final UCL, saya sanggup bermain dengan menggunakan satu kaki sahaja ataupun menggunakan tongkat.

"Bagaimana anda boleh menyekat seorang pemain yang mahu beraksi dalam final UCL. Setiap pemain sanggup mengingkari protokol demi beraksi dalam final UCL atau terlibat dalam perlawanan akhir Piala Dunia.

"Terdapat beberapa perlawanan yang menyaksi protokol telah diabaikan. Jadi jika itu berlaku, saya fikir adalah tidak tepat untuk menyalahkan Harry atau jabatan perubatan, ia hanya sifat bola sepak."

Tottenham, "Jose Mourinho", "Liga Juara-Juara", "Kecederaan"