Mourinho selalu tanya mengenai Bayern -- Schweinsteiger

Oleh Penulis Jemputan 5 November 2019 520
Mourinho selalu tanya mengenai Bayern -- Schweinsteiger
Bastian Schweinsteiger berkata Jose Mourinho sentiasa bertanya mengenai Bayern Munich ketika mereka berada di Manchester United selepas pengurus Portugis itu dikaitkan untuk mengambil alih juara Bundesliga berkenaan.

Bayern menyingkirkan Niko Kovac semalam selepas tewas 1-5 kepada  Eintracht Frankfurt dan tergelincir ke tangga keempat Bundesliga.

Tekanan semakin memuncak buat Kovac musim ini meskipun dia membawa Bayern menjuarai Bundesliga dan DFB-Pokal dalam tahun pertamanya musim lalu.

Mourinho pula tidak memiliki sebarang pasukan sejak dipecat United pada Disember tahun lalu.

Pengurus berusia 56 tahun itu dilihat sebagai antara pilihan utama untuk menggantikan Kovac.

Schweinsteiger mewakili Bayern dari 2002 hingga 2015 sebelum berpindah ke United yang dikendalikan Mourinho pada musim 2016-17.

Dia berkata Mourinho pernah menunjukkan minatnya terhadap Bayern dan Bundesliga sambil mempelajari bahasa Jerman ketika waktu senggang.

"Saya boleh bayangkan Mourinho di Jerman," katanya kepada Bild.

"Saya masih ingat dia sentiasa bertanya mengenai Bayern dan Bundesliga.

"Ketika kami bertandang ke laman lawan, dia sentiasa menonton Bundesliga di TV.

"Dia mengenali setiap pemain termasuk yang berada dalam pasukan kecil.

"Dia juga mempelajari bahasa Jerman.

"Dia tidak pernah bekerja dalam Bundesliga, jadi saya boleh bayangkan dia mengikat komitmen di Jerman," katanya.

Pembantu Kovac, Hans Flick, akan mengemudi pasukan itu bagi menghadapi perlawanan menentang Olympiacos dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi lusa dan aksi "Klassiker" dengan Borussia Dortmund hujung minggu ini.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen