Jose Mourinho memuji mentaliti yang dimiliki oleh Henrikh Mkhitaryan selepas gol solo cantiknya awal pagi tadi yang menyaksikan kemenangan Manchester United 2-0 ke atas Zorya sambil menekankan pemain kelahiran Armenia itu telah mengubah nasib pasukannya.

Mkhitaryan melalui tempoh yang sukar beberapa bulan sebelum ini dengan perpindahan yang mahal dari Borussia Dortmund pada bulan Julai lalu.

Namun, aksi yang kurang memberangsangkan ketika kekalahan dalam perlawanan 'derby' kepada Manchester City, September lalu, menyebabkan dia tidak menjadi pilihan.

Dia tidak disenaraikan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sehingga perlawanan menentang Everton pada 4 Disember lalu yang menyaksikan United mencatatkan keputusan seri 1-1.

Mkhitaryan berjaya untuk mendapatkan tempat dalam perlawanan Liga Europa awal pagi tadi menentang Zorya dan dia berjaya memecah kebuntuan jaringan dengan usaha yang menakjubkan.

"Dia mempunyai mentaliti yang kuat," kata Mourinho. "Dia mempunyai azam yang tinggi untuk melawan situasi sukar yang dialaminya dan dia melakukannya dengan cara yang terbaik.

"Dia bekerja keras secara fizikal, taktikal, dan kita semua tahu dia mempunyai bakat -- bakat yang kami sedar kenapa kami membelinya.

"Dia berjuang untuk memperbaiki dirinya dan kini dia bermain baik dalam EPL, Liga Europa dan Piala EFL, dan dia telah menunjukkan perkembangan yang menggembirakan untuk dirinya, jadi saya sangat gembira."

Beberapa situasi tegang berlaku di tempat duduk penonton dengan penyokong Zorya mencuri kain rentang United, juga kemudian melempar suar ke dalam padang berhampiran Sergio Romero tetapi Mourinho menggesa Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) untuk tidak menghukum kelab Ukraine itu.

"Sokongan yang diberikan begitu indah dan mereka (peminat Zorya) tidak perlu berbuat demikian (membaling suar) untuk menambah keindahan tersebut," katanya. "Untuk penjaga gol, ia sangat berbahaya.

"Stadium ini cantik, penyokong dan peminat United juga baik. Tetapi mungkin UEFA tidak berpuas hati dan akan mengenakan tindakan kepada Zorya, yang saya fikirkan Zorya tidak berhak untuk menerimanya."