MARINE 0 TOTTENHAM 5

Jose Mourinho gembira melihat tahap kesabaran Carlos Vinicius yang diuji selama beberapa minit sebelum menebusnya dengan hatrik selain memuji pendekatan profesional Tottenham dalam kemenangan 5-0 ke atas pasukan bukan liga, Marine, dalam pertemuan Piala FA.


Penyerang dari Brazil itu, yang membuat permulaan kelimanya dalam kesebelasan utama musim ini dengan empat daripadanya menerusi Liga Europa, mencetak tiga gol dalam separuh masa pertama pertemuan di Rossett Park itu, awal pagi tadi.

Vinicius memainkan watak di samping Harry Kane, lantas Mourinho berasakan persembahan anak buahnya itu melambangkan bahawa Spurs menghormati seteru mereka daripada liga divisyen kelapan itu malah kedua-dua pasukan dipisahkan 116 anak tangga dalam piramid bola sepak Inggeris.

"Ini langkah yang bagus untuknya. Apatah lagi dia jarang beraksi memandangkan pilihan di depannya adalah pemain handalan juga," kata Mourinho kepada BBC Sport.

"Setiap kali dia mempunyai sedikit peluang untuk beraksi seperti dalam Liga Europa, dia akan menyerlah untuk kami dan kami sangat gembira.





"Saya fikir mereka ini profesional dan tidak berhenti berjuang sehingga perlawanan berakhir.

"Ia sikap yang positif dan sangat bermakna bagi saya, kempen ini dan Marine sendiri kerana mereka berasakan kami beraksi dengan serius."

Lucas Moura menemui sasaran menerusi sepakan percuma menarik ketika Spurs mendahului 4-0 pada waktu rehat, sementara pemain berusia 16 tahun, Alfie Devine, melakar sejarah muncul sebagai pemain dan penjaring termuda kelab utara London itu dengan gol kelima tuan rumah.

Penyerang Brazil, Lucas sangat gembira dengan pencapaian rakan senegaranya, Vinicius, dengan mengatakan: "Saya sangat gembira hari ini, sangat gembira untuk rakan saya Vinny, ayuh beralih kepada perlawanan seterusnya."

Sementara itu, Mourinho tetap akan membuat persiapan bagi menghadapi Aston Villa dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Khamis ini, biarpun penganjur belum mengesahkan jadual perlawanan itu yang ditunda akibat penularan COVID-19 minggu lalu.