Jose Mourinho mendakwa dia tidak pernah menerima sokongan sehebat yang dinikmatinya bersama Manchester United selepas kemenangan 1-0 ke atas musuh setempat, Manchester City, untuk mara ke suku akhir Piala EFL.

United tampil dalam perlawanan itu dengan menyusuli satu kekalahan 4-0 yang memalukan di bekas kelab Mourinho, Chelsea, pada Ahad lalu, dengan pengurus berbangsa Portugis itu dilaporkan berang dengan pengurus lawan, Antonio Conte, yang mendesak sorakan gamat penyokong di Stamford Bridge selepas mereka menyumbat gol keempat.

Mourinho kelihatan dalam ‘mood’ yang lebih baik di Old Trafford semalam, sambil dilihat berjenaka dengan bos City, Pep Guardiola, sebelum sepak mula, dengan bertindak balas kepada cemuhan dengan melambai-lambai kepada penyokong serta mengisyaratkan '4-0' dengan jari-jarinya selepas wisel penamat.

Namun, peristiwa hujung minggu lalu jelas belum terpadam daripada mindanya apabila dia bercakap kemudian, dengan menghamburkan pujian kepada penyokong United sambil mempersendakan penyokong kelab-kelab yang dia pernah bekerja.

“Ia adalah satu kekalahan besar (di Chelsea), angka-angka yang sejarah kelab ini tidak berhak terima,” katanya. “Jelas sekali apabila saya berada di sebuah kelab, hati saya adalah milik penyokong dan saya berasa sangat terhutang budi kepada mereka.

“Tapi realitinya adalah saya tidak pernah memiliki penyokong seperti ini. Kami tewas 4-0 dan mereka masih memberi sokongan mereka.

"Hari ini stadium penuh – bukan penuh dengan penonton tapi penuh dengan sokongan sebenar – dan ia kelihatan rasa kasih penyokong kepada kelab ini adalah lebih besar daripada keputusan buruk, lebih besar daripada tiga musim yang hambar.

“Kami perlu mengembalikan sesuatu dan hari ini, tanpa mengira keputusannya – kami boleh kalah dan saya masih akan mempunyai perasaan yang sama terhadap pemain-pemain saya – mereka telah memberikan segala-galanya dalam satu rentetan perlawanan yang sukar, maka saya fikir mereka berhak ke atasnya.

“Pemain-pemain menunjukkan mereka mengambil berat perasan penyokong.”

Juan Mata menyumbat gol kemenangan ke atas City yang melakukan rombakan besar, sembilan minit selepas separuh masa kedua bermula, dan United seterusnya akan berdepan West Ham dalam suku akhir.