AC Milan mengesahkan pengendali pasukan, Vincenzo Montella, telah meletakkan jawatan setelah persembahan kurang memberangsangkan sejak permulaan musim 2017-18 berterusan selepas seri 0-0 dengan Torino, kelmarin.

Keputusan itu menyaksikan The Rossoneri gagal mencari kemenangan serta meledak sebarang gol di San Siro, sekaligus ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu liga, Napoli.

Bekas pemain, Gennaro Gattuso, yang mengendalikan skuad remaja, telah dilantik untuk mengambil alih tugas Montella.

Pelantikan Gattuso ini masih belum dikenal pasti sebagai langkah jangka panjang atau pendek.

Milan menamatkan saingan di tempat keenam musim lalu, ketinggalan satu mata di belakang Inter, tetapi kehadiran sebelas muka baru pada musim panas lalu, dengan membawa masuk pemain seperti Leonardo Bonucci, Andre Silva dan Andrea Conti, Milan gagal meraih keputusan positif.

Skuad kendalian Montella membuka kempen dengan kemenangan ke atas Crotone dan Cagliari tetapi kekalahan 4-1 kepada Lazio mencadangkan mereka masih belum bekerja keras untuk melayakkan diri beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Selepas melakar kemenangan ke atas Udinese dan SPAL, Milan tewas tiga perlawanan berturut-turut, termasuk kepada Inter 3-2.

Kekalahan kepada Roma dan Juventus di laman sendiri terus menggugat prestasi mereka, dengan kelab itu telah mengambil keputusan untuk berpisah dengn pengendali berusia 43 tahun itu, yang dilantik pada Jun 2016.

Bekas pengendali Milan, Carlo Ancelotti, yang dipecat oleh Bayern Munich awal musim ini, dijangka menjadi salah seorang pilihan untuk menggantikan Montella.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Itali itu, yang juga pemenang gelaran Serie A dan UCL, menyatakan hasratnya untuk berehat hingga tamat musim 2017-18.