Jurulatih Monaco, Thierry Henry, menegaskan pasukannya tidak takut kepada penyingkiran selepas persembahan hambar dalam saingan Ligue 1 berterusan.

Jaringan Mathieu Cafaro dalam separuh masa pertama membantu Reims meraih kemenangan 1-0 semalam ketika kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.

Keputusan itu menyaksikan juara 2016-17 berkenaan sekadar meraih satu kemenangan daripada 12 perlawanan liga musim ini dan berada dalam kedudukan berbahaya.

Henry, yang mengambil alih pasukan bulan lalu, berkata tiada ketakutan atau kebimbangan menyelubungi pasukannya tetapi kecewa dengan persembahan barisan pemainnya.

"Saya tidak berasakan pasukan takut (kepada penyingkiran) tetapi pasukan beraksi dengan mentaliti yang negatif. Ia adalah situasi yang sukar yang perlu dihadapi," kata Henry.

"Banyak mata yang perlu diraih pasukan dan saya telah pun menjangkakan sukar untuk mencari rentak yang telah dipamerkan sebelum ini.

"Kami telah berlatih dengan baik tetapi perlawanan tidak mencerminkan apa yang telah kami usahakan minggu ini.

"Dalam perlawanan sebelum ini, Reims telah mempamerkan aksi berkualiti dan berhak meraih kemenangan," katanya.