Misi ke Sukan Olimpik Tokyo bermula -- itu ungkapan tepat buat skuad B-23 negara selepas berlangsungnya undian kelayakan Kejohanan AFC B-23 2019, hari ini.

Kempen kelayakan AFC B-23 merupakan langkah pertama untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam majlis undian yang berlangsung di pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil hari ini, 44 pasukan diundi bagi menentukan kedudukan dalam 11 kumpulan.

Perstasi cemerlang skuad Datuk Ong Kim Swee dalam Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu, membolehkan Malaysia menempatkan diri dalam balang satu undian.

Mengelak bertemu kuasa besar Asia Timur seperti Jepun, Korea Selatan dan Korea Utara, Malaysia diundi bersama China, Laos dan Filipina dalam Kumpulan J untuk kelayakan kali ini.



Format kejohanan kelayakan menetapkan juara setiap kumpulan dan empat naib juara kumpulan terbaik akan layak ke pusingan akhir kejohanan di Thailand pada 2020.

Hanya tiga pasukan terbaik di Thailand nanti akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Kami menyedari lawan yang sukar menanti Malaysia. Perkembangan serta peningkatan dalam mutu permainan bola sepak sangat pantas dalam kalangan negara rantau ini dan kami berharap dapat memberikan yang terbaik," kata penolong jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney.