MISC-MIFA muncul juara Piala FAM 2016 selepas menundukkan PKNP FC 2-1 (agregat 3-1) dalam aksi timbal balik perlawanan akhir di Stadium Perak, malam ini.

PKNP, yang ketinggalan dengan agregat 1-0, bermula garang dengan melancarkan serangan pantas ke kubu lawan.

Bagaimanapun, hasil serangan balas pada minit keempat, MISC-MIFA mendahului menerusi jaringan A. Yoges.

Rentak laju ditunjukkan kedua-dua pasukan, pun begitu padang yang licin akibat hujan menyukarkan pergerakan.

Pada minit ke-67, Muhammad Munawwar Shavukath Ali menyambar bola daripada sepakan percuma untuk menjadikan kedudukan 2-0 buat MISC-MIFA.

Gol sagu hati PKNP FC dijaringkan Muhamad Mazni Khairul Hasnan pada minit ke-72.