Ketua Pegawai Eksekutif RB Leipzig, Oliver Mintzlaff, berkata sukar untuk bersaing dengan Manchester United, Juventus dan Borussia Dortmund untuk menandatangani bintang sensasi Salzburg, Erling Haaland.

Haaland merupakan dambaan gergasi Eropah selepas penyerang Salzburg itu terus dikaitkan dengan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), United, juara Serie A, Juventus, dan dua kelab Bundesliga, Leipzig dan Dortmund.

United dilaporkan menjadi pilihan untuk mendapatkan Haaland ke Old Trafford hasil hubungan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, dengan pemain berusia 19 tahun itu ketika mengendalikan Molde.

Mintzlaff membincangkan mengenai usaha kelab untuk mendapatkan Haaland selepas masa depan penyerang utama, Timo Werner, masih lagi belum ditentukan.

"Ya, kami telah bertemunya. Kami sangat berminat dengan pemain itu," kata Mintzlaff kepada Sport1.

"Dia mendengarnya dan sangat terbuka terhadap perpindahan itu. Dia mahu bertukar kelab paling lewat musim panas nanti.

"Tetapi ia tidak semudah itu. United, Juventus dan Dortmund antara kelab yang turut mahukan Haaland."

Haaland menghasilkan impak selepas menjaringkan 28 gol buat Salzburg musim ini.

Ditandantangani daripada Molde musim ini, dia telah menjaringkan 16 gol dalam saingan liga sementara lapan lagi dalam Liga Juara-Juara (UCL).