Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam, menegaskan syarat ketat terhadap Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengenai pengambilan pemain import untuk Liga Malaysia 2019 bukan untuk "mendera" persatuan itu, sebaliknya demi kebaikan dan kemajuan bola sepak negeri itu.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani, tidak berpuas hati dengan MFL selepas dikenakan syarat ketat dalam pengambilan pemain import.

Ia berpunca daripada masalah tunggakan gaji lama berjumlah lebih RM500,000 membabitkan bekas pemain, Dramane Traore dan bekas pengarah teknikal, Alfredo Gonzales.

KAFA, bagaimanapun, tiada pilihan selain perlu menyelesaikan masalah berkenaan setelah MFL tampak enggan lagi berkompromi dengan masalah yang berbangkit.

"Tidak mengira besar atau kecil, kita harus mengikut peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan perkembangan dalam bola sepak negara," kata Kevin.

KAFA dilaporkan sudah menandatangani Yuka Suzuki dari Jepun sebagai pemain import baru selepas mereka mengekalkan khidmat pertahanan, Cassio de Jesus.

Suzuki, bagaimanapun, menyertai The Red Warriors hasil tajaan syarikat Yakult yang dikatakan tidak menghalang pemain itu didaftarkan untuk musim baru liga.

"Hutang tidak boleh dilangsaikan dalam tempoh yang terdekat. Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara ini," kata Bibi Ramjani.