Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menganggap "lampu hijau" yang diberikan kerajaan untuk pasukan Liga Malaysia memulakan latihan bermula 15 Jun ini sebagai satu rahmat dan petanda baik buat industri bola sepak negara.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Ketua Pegawai Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata badan penganjur itu akan mengadakan satu sidang maya bersama kesemua wakil pasukan Liga Malaysia pada Rabu ini.

"Alhamdulillah, kami bersyukur kerana isu Covid-19 di negara ini sudah semakin positif dan bersyukur juga buat sukan bola sepak itu sendiri selepas MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sudah mula memberikan kelonggaran dengan membenarkan latihan untuk dimulakan pada 15 Jun ini," katanya dalam satu perbualan video bersama pelapor, Zulhelmi Zainal Azam.

"Insya-Allah, saya akan mengadakan satu sidang video bersama pasukan-pasukan Liga Super dan Liga Perdana pada Rabu ini.

"Ia merupakan petanda baik buat pasukan Liga Malaysia kerana pemain dapat kembali turun ke padang dan kami berharap pada Julai ini, acara sukan dengan sentuhan badan dapat bermula kembali secara sedikit demi sedikit," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, berharap kerajaan akan membenarkan sesi latihan berkumpulan secara kuarantin buat skuad senior dan B-19 negara.

"Buat skuad senior dan B-19 negara, mereka perlu melakukan penilaian untuk membenarkan latihan secara berpusat seperti yang dibenarkan MSN (Majlis Sukan Negara) buat atlet-atlet kebangsaan dalam Program RTT (Road to Tokyo).

"Ia merupakan salah satu cadangan yang FAM akan sediakan dalam beberapa hari ini untuk memastikan kami juga mendapat pertimbangan yang sama seperti atlet Program RTT yang sudah memulakan kem latihan baru-baru ini," katanya.