Badan pengelola, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), tetap meletakkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai pihak yang berhak memutuskan sama ada Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dapat diteruskan atau tidak.

Ia turut meliputi kebenaran untuk memulakan latihan buat mana-mana pasukan bertanding.

Dalam satu surat pekeliling yang diedarkan MFL kepada persatuan bola sepak tempatan hari ini, badan penganjur itu mengkekalkan pendirian bahawa setiap pasukan yang bertanding tidak boleh mengadakan sebarang bentuk latihan secara berpasukan, sama ada di dalam stadium, di luar atau dalam kawasan tertutup.

Larangan itu juga turut melibatkan perlawanan persahabatan di antara pasukan.

Keadaan itu akan berkekalan sehingga tamat tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pada 9 Jun ini.

Jika ada prosedur operasi standart (SOP) terbaru selepas tarikh berkenaan, pihak MFL akan memaklumkannya kepada semua pihak yang terlibat.

Bagaimanapun, jika ada mana-mana pasukan yang masih meneruskan pelan latihan sebelum tarikh akhir PKPB, pihak mfl menyarankan agar pasukan terbabit memohon kebenaran dengan menyenaraikan SOP yang mahu diguna pakai sepanjang sesi latihan yang bakal diadakan itu.