Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak mahu menjadi pembunuh kepada kemeriahan Liga Malaysia dengan bersikap terlalu keras ke atas pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji, sebaliknya cuba mencari jalan penyelesaian bersama dalam tempoh terdekat.

Isu tunggakan gaji bagi musim 2018 dilihat melalui situasi terburuk dalam sejarah apabila melibatkan
hampir 15 pasukan.

Terbaru, Jawatankuasa Status, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan Pulau Pinang,
Terengganu City FC, Kuantan FA dan Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur supaya
membayar tunggakan dalam tempoh 60 hari sehingga Februari 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam, menjelaskan pihaknya sedar ada cadangan
mahu pasukan bermasalah itu ditutup atau dikenakan hukuman lebih berat seperti pemotongan mata
maksimum, namun dia mahu bersikap adil kepada penyokong.

"Kami perlu bertanggungjawab kepada penyokong pasukan Pulau Pinang sebagai contoh. Mereka tidak bersalah.

"Adakah mereka perlu mengalami satu situasi di mana pasukan mereka tidak lagi bertanding atau adakah masa depan pemain muda di sana akan tergugat tatkala mereka telah menghasilkan bakat muda yang bagus di peringkat kebangsaan?" soalnya.

Selain itu, Kevin tidak mahu jumlah perlawanan dalam saingan Liga Malaysia terkesan sekiranya
banyak pasukan dibiarkan ditutup tanpa dibantu mencari formula mengatasi masalah kewangan.

"Jika pasukan yang mengalami masalah tunggakan gaji disekat, pencabar lain juga akan terkesan disebabkan kekurangan perlawanan. Tajaan dan bayaran penyiaran pastinya akan berubah, sekali gus mengganggu pendapatan."

Sementara itu, Kevin turut mengesahkan status penuh pasukan yang bakal beraksi dalam Liga Super
dan Liga Perdana akan diketahui selepas Khamis ini.

Ia susulan pertemuan MFL dengan pasukan yang berpotensi untuk mengisi satu kekosongan dalam Liga
Super dan dua slot bagi Liga Perdana.

Malah, status UKM FC juga bakal diketahui, namun Kevin membayangkan naib juara Piala Cabaran itu
berpeluang cerah untuk kekal sambil dia menepis dakwaan Perlis sudah menerima jawapan bermain dalam Liga Perdana walaupun persiapan pasukan itu turut menguji pemain import.

"Kami sudah ada keputusan mengenai perkara ini tetapi perjumpaan perlu dilakukan dengan pasukan yang terlibat. Kami akan berjumpa dengan pengurusan mereka bagi memastikan mereka bersedia kerana tidak mahu wujudnya istilah kurang persediaan.

"Kami tidak lagi menyampaikan apa-apa berita mengenai keputusan untuk pasukan itu. Jadi, apa yang mereka lakukan sebelum ini lebih kepada cita-cita mereka dan bukan akibat kebocoran keputusan. Perlis adalah antara pasukan yang akan saya temui 27 Disember ini," tambah Kevin.