Barcelona awal pagi tadi mengesahkan ayam tambatan mereka, Lionel Messi, mengalami patah tangan kanan dan bakal terlepas aksi El Clasico berdepan Real Madrid, hujung minggu depan.

Bintang Argentina itu terpaksa dikeluarkan dalam separuh masa pertama ketika Barca menewaskan Sevilla 4-2 di Camp Nou.

Messi menghasilkan umpanan menarik yang disudahkan Philippe Coutinho pada awal permainan sebelum meledak gol buat Barca pada minit ke-12.

Namun, Messi kemudian terhentak di bahagian tangan kanannya akibat pendaratan yang kurang kemas.

Walaupun diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan Barcelona, Messi tidak dapat meneruskan perlawanan.

Sejurus selepas tamat perlawanan, Barcelona mengesahkan penyerang itu mengalami patah tulang radial di bahagian tangan kanan.

Laporan perubatan memperlihatkan Messi terpaksa direhatkan sekurang-kurangnya tiga minggu, sekali gus terlepas aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Inter Milan, Khamis ini.

Keadaan itu menyaksikan Messi turut tidak dapat beraksi dalam pertembungan El Clasico menentang Real Madrid, Ahad depan, namun dijangka pulih menentang Real Betis dalam aksi LaLiga, 11 November ini.