TOTTENHAM 2 BARCELONA 4

Persembahan memukau Lionel Messi dalam kemenangan 4-2 ke atas Tottenham Hotspur dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) mendorong rakan sepasukannya, Philippe Coutinho, untuk menggambarkannya sebagai "pemain terbaik sepanjang zaman".


Coutinho memberikan Barca gol pendahuluan seawal minit kedua dalam aksi di Wembley awal pagi tadi, bagaimanapun dua gol Messi dalam babak kedua memastikan barisan kendalian Ernesto Valverde itu mengakhiri kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan.

Messi turut terlibat dalam jaringan pembukaan Barca sebelum merakamkan gol ke-64 daripada 65 penampilan di peringkat kumpulan UCL sementara Jordi Alba menyumbat gol ketiga.

Bekas penyerang Barca, Gary Lineker, dalam media sosialnya menyifatkan Messi sebagai pemain terbaik dalam sejarah dan Coutinho pantas bersetuju dengan penilaian itu selepas menjaringkan gol sulungnya dalam UCL bersama kelab berkenaan.

"Messi adalah yang terbaik," kata Coutinho kepada beIN SPORTS.

"Dia selalu melakukan perkara baru di atas padang, saya gembira dia menjaringkan gol kedua.

"Semua perlawanan Liga Juara-Juara adalah seperti itu, kita perlu berada pada 100 peratus. Hari ini kami layak mendapat kemenangan."

Pertahanan Tottenham, Kieran Trippier, akur dengan kemenangan Barca sambil berkata pasukannya, tanpa pemain bintang seperti Christian Eriksen, Dele Alli dan Jan Vertonghen akibat kecederaan, tetap berpuas hati dengan cabaran yang diberikan dalam separuh masa kedua yang menyaksikan Harry Kane dan Erik Lamela mencetak nama selaku penjaring.

"Ini adalah permainan yang anda mahu beraksi, anda impikan perlawanan seperti ini," kata Trippier kepada BT Sport.

"(Messi) sukar dipercayai.

"Barcelona merupakan pasukan yang lebih baik malam ini tetapi kami memungut banyak perkara positif daripada perlawanan ini.

"Kami mempunyai satu lagi perlawanan dalam masa terdekat, oleh itu kami akan pulih dan mengkaji kesilapan sendiri."