Lionel Messi tidak pasti sama ada akan terus mewakili skuad Argentina selepas Piala Dunia 2018 berakhir.

Pemain berusia 30 tahun itu meninggalkan arena antarabangsa pada 2016 tetapi kembali membarisi skuad kendalian Jorge Sampaoli itu, namun kini memikirkan persaraan tetap bagi karier yang bermula sejak 2005.

Sumbangan besarnya buat Argentina telah meninggalkan kesan buat Albiceleste, termasuk melangkah ke final Piala Dunia 2014 serta dua pentas akhir berturut-turut bagi saingan Copa America tetapi tewas dalam ketiga-tiga aksi tersebut.

Dia yang dinamakan selaku pemain terbaik kejohanan empat tahun lalu percaya pencapaian pasukan kebangsaannya telah dipandang rendah oleh media dan menganggap saingan di Russia bakal menjadi pentas terakhirnya.

"Saya tidak pasti. Ia bergantung kepada bagaimana kami melakukannya dan cara ia berakhir," kata Messi.

"Realitinya, kekalahan dalam tiga aksi final telah membawa kepada beberapa situasi sukar daripada perspektif media mengenai cara mereka melihat kejayaan kami ke pentas akhir.

"Ia tidak mudah dan semestinya harus dihargai. Benar, memenanginya sangat penting tetapi sukar untuk kami melangkah sehingga ke tahap itu," katanya.

Dalam masa sama, Messi menjangkakan Argentina bakal berdepan saingan getir sejurus melangkah ke pusingan kalah mati di Russia apabila menghadapi cabaran daripada Brazil, Jerman, Sepanyol, Perancis dan Belgium.

Bagaimanapun, dia yakin skuad bimbingan Sampaoli itu tidak gentar untuk berdepan mana-mana pasukan di Russia.

"Terdapat banyak pemain yang hebat tetapi kami juga memiliki barisan berkualiti yang diinginkan oleh setiap pasukan," tambahnya.