Ryan Giggs menyifatkan Lionel Messi sebagai "pemain sekali dalam seumur hidup" selepas ditanya pendapatnya terhadap perdebatan siapakah yang lebih baik di antara penyerang Barcelona itu dan Cristiano Ronaldo.

Dua bintang itu mendominasi undian Ballon d'Or lebih sedekad, dengan masing-masing memenangi lima trofi sebelum Luka Modric memecah dominasi mereka tahun lalu.

Messi kekal bersama Barcelona sepanjang kariernya manakala Ronaldo telah membintangi Manchester United, Real Madrid dan kini Juventus.

Giggs, yang telah beraksi bersama Ronaldo di Old Trafford, berkata dia sentiasa menyokong bekas rakan sepasukannya itu tetapi tidak dapat berselindung terhadap kualiti yang dimiliki Messi.

"Sejujurnya saya menyebelahi Ronaldo kerana saya telah beraksi bersamanya dan melihat dia berkembang sebagai seorang pemain," katanya kepada DAZN. "Tetapi Messi seorang genius, pemain yang hadir sekali seumur hidup. Ia semudah itu."

Giggs kini mengendalikan skuad kebangsaan Wales, di mana dia melatih bekas rakan sepasukan Ronaldo, Gareth Bale, yang kini bersama Real buat musim ketujuh.

Bale hampir meninggalkan Santiago Bernabeu musim panas lalu untuk berkelana ke China sebelum perpindahan itu gagal disempurnakan dan kekal di bawah kendalian Zinedine Zidane.

Giggs melihat situasi Bale bersama Los Blancos itu sesuatu yang tidak seharusnya berlaku melihat kepada yang telah dicapainya bersama kelab itu.

"Ia kelihatan pelik. Kualiti yang dimiliki Bale dan apa yang telah dimenangi bersama pasukan itu, empat gelaran Liga Juara-Juara (UCL).

"Saya adalah jurulatihnya untuk Wales dan Bale adalah kapten pasukan saya. Dia seorang yang profesional."