Lionel Messi mengesahkan keinginannya untuk terus bersama Barcelona selepas bersetuju dengan kontrak baru, sekaligus bakal menyaksikannya kekal di Sepanyol sekurang-kurangnya sehingga 2021.

Pemenang lima kali anugerah Ballon D'or itu menamatkan teka-teki mengenai masa depannya apabila menandatangani kontrak yang turut memuatkan klausa perpindahan bernilai EUR700 juta (RM3,400 juta) hari ini.

Messi baru-baru ini dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City, namun dalam masa sama menyifatkan kepulangan ke Argentina sebagai salah satu pilihan yang dimiliki.

Situasi itu bertambah rumit apabila Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, mendedahkan bahawa Messi telah menandatangani tiga kontrak berlainan pada awal bulan lalu, termasuk perjanjian dengan Messi Foundation serta perkara berkaitan dengan hak mengenai imej bersama kontraknya di Barca.

Bagaimanapun, Messi yang bakal memasuki usia 34 tahun apabila kontrak baru itu tamat, menjelaskan amat gembira untuk kekal bersama kelab yang disertainya ketika berumur 13 tahun.

"Sejak sekian lama, kami telah menunggu untuk mendapatkan persetujuan ini dan ia akhirnya selesai," kata Messi kepada Barca TV.

"Saya teruja untuk terus berada di sini. Seperti yang pernah saya katakan, ini adalah rumah saya.

"Menamatkan karier bersama Barca adalah impian saya sejak sekian lama dan kini kami berada tepat di landasan."

Bintang Argentina itu berpeluang untuk menjarakkan kedudukan di tangga teratas LaLiga bersama Barcelona apabila bertandang ke Valencia, esok.