Lionel Messi penting buat masa depan Barcelona memandangkan dia merupakan resepi kejayaan mereka sejak 15 tahun lalu, kata Presiden, Josep Maria Bartomeu.

Bartomeu menjelaskan ketua pasukan Argentina itu akan menjadi "tonggak utama" pasukan tersebut di bawah kendalian pengurus baru, Ronald Koeman, yang dilantik semalam.

Spekulasi bahawa Messi tidak gembira bahkan sedia meninggalkan Barcelona sejak maruah mereka dicalarkan 2-8 di tangan Bayern Munich, Sabtu lalu.

Bartomeu mengakui belum bercakap dengan pemain berusia 33 tahun itu tetapi telah menghubungi bapanya.

Yang penting, Bartomeu sudah berbincang dengan Koeman mengenai peranan yang perlu dimainkan Messi dan kedudukannya tidak terusik.

"Saya telah bercakap dengan Koeman dan tonggak projek kami adalah Messi," katanya.

"Dia mempunyai dengan kami kontrak hingga 2021, saya kerap bercakap dengan Leo dan lebih kerap berurusan dengan ayahnya. Dia merupakan pemain nombor satu di dunia. Tidak perlu diragui lagi bahawa dalam projek baru Koeman, Messi akan memainkan peranan utama."


Kelab wilayah Catalunya itu bukan hanya mengalami penderitaan di pentas Eropah, malah di peringkat domestik apabila mengakhiri musim ini dengan tangan kosong sementara Real Madrid memenangi LaLiga selepas juara bertahan berkenaan gagal mempertahankan prestasi mereka selepas baki saingan, yang tertangguh akibat penularan wabak COVID-19, bersambung Jun lalu.

Bercakap kepada TV Barca, Bartomeu berkata: "Sama seperti orang lain, Messi berasa kecewa. Kami harus optimis. Kami akan berkabung selama sehari atau dua tetapi sekarang kami perlu bangkit.

"Kami acap memikirkan sistem yang mampu menyokong kemampuan Messi. Kami memilikinya secara mutlak.

"Dalam era ini, ada kitaran yang berbeza. Mungkin era pemain lain juga akan bermula, tetapi ia juga perlu seiring dengan era Messi."