Bintang Barcelona, Lionel Messi, hampir menyertai Espanyol pada 2005, kata pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino.

Messi, 31, baru sahaja memulakan karier senior ketika itu tetapi akhirnya memilih untuk kekal di Camp Nou dan muncul sebagai salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman.

Pochettino -- yang menamatkan karier sebagai pemain di Espanyol -- berkata Messi hampir menyertai kelab itu selepas mempamerkan aksi hebat ketika berdepan Juventus dalam aksi Trofi Joan Gamper.

"Saya mula mendengar tentangnya ketika berada di Espanyol. Seorang pemain yang bertubuh kecil berada dalam skuad Barcelona," kata Pochettino menjelang pertemuan pasukannya dengan Barca dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Khamis ini.

"Dia tiba ketika berusia 13 tahun, hadir dari Argentina ke Barcelona. Kemudian, saya mendengar dia hampir menyertai Espanyol ketika musim di mana Barca menentang Juve yang dikendalikan oleh Fabio Capello bagi aksi Joan Gamper.

"Disebabkan dia sangat cemerlang dalam kejohanan itu, Capello memuji aksinya, membuatkan Barca mengubah keputusan dan mengekalkan Messi di Camp Nou.

"Jadi, jika anda melihat sejarah, mungkin jika dia tidak beraksi dalam saingan Joan Gamper ketika itu, mungkin hari ini dia bergelar bintang terhebat Espanyol dan mungkin kelab itu sama seperti Barca.

"Kami akan memiliki rakan sepasukan dan mungkin saya masih di Espanyol mengendalikannya," tambahnya.

Messi melakukan penampila sulung dalam liga buat Barca pada Oktober 2004, berdepan Pochettino dan Espanyol sebelum mencipta kemenangan 1-0.

Bagaimanapun, Pochettino menegaskan sukar untuk mengingati waktu itu sambil Messi hanyalah salah satu daripada produk akademi Barcelona ketika itu.

"Apabila Messi melakukan penampilan pertama, ia seperti pemain muda lain yang mewakili Barca daripada skuad akademi -- seperti Xavi, Andres Iniesta atau Ivan De La Pena," ujarnya.

"Sebenarnya, tidak. Sewaktu De La Pena mula beraksi untuk Barca pada 1995, tercetus satu kegembiraan.

"Saya masih ingat Ronaldo berkata dia adalah pemain terbaik yang disaksikan dan mereka beraksi bersama."