Kegagalan Lionel Messi untuk menjaringkan gol dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1 dengan Real Madrid bermakna bintang Argentina itu sedang berdepan kemarau gol paling teruk dalam kariernya berdepan juara 11 kali Liga Juara-Juara Eropah itu.

Messi telah gagal menemui gol dalam enam perlawanan berdepan Madrid dalam semua kejohanan sejak meledak hatrik dalam kemenangan 4-3 di Santiago Bernabeu pada Mac 2014.

Messi, yang menjadi kapten Barcelona dalam pertembungan Clasico buat kali pertama dalam penampilan ke-33 berdepan musuh tradisi mereka, gagal menyempurnakan peluang keemasan selepas Luis Suarez meledak gol pembukaan pada minit ke-53.

Kegagalan tersebut membuka peluang buat Real Madrid untuk bangkit dengan gol penyamaan hasil tandukan kapten, Sergio Ramos, di hujung perlawanan.

Keputusan itu sekaligus meletakkan Barcelona kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Real Madrid, yang kini telah merekodkan 33 perlawanan berturut-turut tanpa kalah dalam kesemua kejohanan.