Ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, berkata dia sudah "kehabisan perkataan" untuk mengisahkan Lionel Messi selepas kapten pasukan itu mencetus inspirasi ketika meraih kemenangan 5-1 ke atas Real Valladolid.

Messi mempamerkan aksi cemerlang dengan dua gol serta dua bantuan jaringan, sekali gus membantu Barcelona kembali ke puncak LaLiga.

Messi melakukan lorongan buat jaringan Arturo Vidal sebelum menjaringkan gol menerusi sepakan percuma menakjubkan -- yang ke-50 dalam kariernya bersama kelab dan Argentina -- di Camp Nou .

Messi meledak gol keduanya selepas rehat dan pemenang Ballon d'Or lima kali itu melakukan hantaran kepada Luis Suarez untuk melengkapkan kemenangan Barca, yang melonjak mengatasi Granada dan Atletico Madrid di tangga teratas.

"Apa lagi yang boleh saya katakan mengenainya? Saya sudah kehabisan perkataan," kata Valverde. "Kami sentiasa mengetahui dia akan menghadirkan sesuatu untuk pasukan.

"Bakatnya tidak boleh dibandingkan dengan apa-apa; realitinya ialah setiap kali dia menyentuh bola, sesuatu yang istimewa berlaku. Saya sudah tidak tahu apa yang hendak dikatakan.

Valverde berkata lagi, "Dia semakin hampir mendapatkan sentuhan terbaik dan jika dia beraksi cemerlang, pasukan lawan akan menghadapi masalah.

"Dia memiliki bakat yang tidak dimiliki mana-mana pemain lain, dia melepaskan diri daripada sesiapa dan Messi juga mampu melakukan sesuatu yang tidak mampu difikir oleh mana-mana pemain."

Walaupun jaringan minit kedua Clement Lenglet dinafikan Kiko Olivas 13 minit kemudian, Messi berjaya menjadi inspirasi Barca ketika bertemu pelawat itu.

Barca berkelebihan dua mata ke atas Granada dan Atletico Madrid selepas 10 perlawanan.

"Kami menilai setiapa apa yang dipamerkan," kata Valverde lagi. "Kami mahu melihat ke hadapan, memenangi liga ini sekali lagi.

"Buat masa ini, Valladolid terikat dengan Atletico dan Real Madrid bukan sebuah pasukan yang mudah diatasi."