REAL MALLORCA 0 BARCELONA 4

Quique Setien begitu "senang hati" dengan penampilan Barcelona sebaik kembali beraksi menerusi kemenangan 4-0 ke atas Real Mallorca, awal pagi tadi.


Selepas gol pembukaan Arturo Vidal, Lionel Messi menjadi arkitek kepada jaringan Martin Braithwaite dan Jordi Alba sebelum dirinya sendiri memuktamadkan kemenangan Barca di tempat lawan itu pada masa tambahan.

Real Madrid mempunyai kelebihan satu perlawanan sementara Barcelona menerajui puncak LaLiga dengan lima mata setelah berehat lebih tiga bulan akibat penularan COVID-19.

Justeru, Setien berasa puas dengan prestasi pasukannya tatkala saingan liga berbaki 10 perlawanan.

"Ia perasaan yang bagus. Akan selalu ada perkara yang ingin diperbaiki tetapi saya berpuas hati dengan persembahan kami," katanya kepada wartawan.

"Permainan kami lancar malah kami mengawal bola dengan baik. Kami memperlahankan perlawanan tetapi saya sangat berpuas hati.

"Untuk beraksi tanpa persiapan perlawanan, kami mungkin boleh dianggap berkarat tetapi saya rasa ini adalah permulaan yang baik untuk kami menguasai baki 10 perlawanan. Secara umumnya saya memiliki perasaan yang baik."





Luis Suarez turun buat julung kalinya sejak Januari lalu apabila bangkit dari bangku simpanan dalam babak kedua sejurus pulih daripada kecederaan lutut.

Setien gembira dengan penyerang Uruguay itu yang mengumpan kepada jaringan Messi sebaik menggantikan Antoine Griezmann.

"Segala yang telah dilakukannya berjalan dengan baik. Dia mempunyai aksi yang berkualiti," katanya.

"Tentunya kami akan melihat sejauh mana perkembangannya tetapi dia adalah pemain yang luar biasa."

Barcelona menjadi tuan rumah kepada Leganes Rabu depan.