Masa depan Lionel Messi bersama Barcelona tidak tergugat susulan masalah dalaman yang melanda Camp Nou, kata pengurus pasukan, Quique Setien.

Saingan LaLiga ditangguhkan ekoran Covid-19 tetapi ia tampak tidak membolehkan Barca mengelakkan diri daripada masalah dalaman sepanjang minggu lalu.

Enam individu daripada pengurusan tertinggi meletakkan jawatan sekali gus memberikan tekanan kepada presiden, Josep Maria Bartomeu, tatkala kelab itu mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas naib presiden, Emili Rousaud.

Calon presiden baru, Victor Font, melancarkan serangan kepada rejim Bartomeu, mendakwa Barca dalam risiko tinggi untuk muflis serta mengkritik moral dalam pasukan.

Messi juga terpalit dengan masalah terhadap pengurusan Barca sejak beberapa bulan lalu apabila menyerang pengarah, Eric Abidal, secara terbuka kerana mendakwa etika skuad menyebabkan bekas pengurus, Ernesto Valverde, dipecat.

Pemenang Ballon d'Or itu juga berang dengan kekurangan perlindungan daripada pengurusan terhadap rakan sepasukannya tatkala pengurangan gaji sedang dibincangkan susulan coronavirus.

Namun, walaupun bintang Argentina itu dikaitkan dengan Manchester City dan Inter Milan, Setien yakin Messi akan kekal di Barca.

"Perkara sebegini normal untuk kelab besar," katanya.

"Perkara yang buruk sering dipaparkan kepada media.

"Lebih bagus jika dapat bekerja secara aman dan seumpanya.

"Saya tidak fikir apa yang berlaku membuatkan pemain seperti Messi memikirkan semula masa depan bersama kelab. Saya pasti dia akan menamatkan karier di Camp Nou."