Pemilihan di antara Gabriel Jesus dan Sergio Aguero adalah keputusan paling sukar buat Pep Guardiola dalam kesebelasan Manchester City buat masa ini tetapi penyerang bintang itu perlu membiasakan diri menghabiskan masa di bangku simpanan.

Aguero kini mengumpul 10 gol daripada 12 penampilan dalam semua pertandingan musim ini, di mana dia telah menjadikan dirinya sebagai penjaring gol terbanyak buat City.

"Bagi saya, sangat sukar untuk meninggalkan Jesus atau Aguero, ia begitu sukar," kata bos City itu menjelang perlawanan menentang Feyenoord dalam Kumpulan F Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

"Sebelum ini kami bermain dengan hanya seorang penyerang dan saya perlu mengubahnya. Masih banyak perlawanan dan mereka perlu membuat persediaan dengan baik, terutama apabila berada di bangku simpanan atau dalam keadaan tidak baik -- bersiap untuk cuba memenangi perlawanan. "

Guardiola menjelaskan bahawa perubahan pendekatan bahagian serangannya hanya berdasarkan kehilangan Benjamin Mendy yang mengalami kecederaan ligamen lutut.

"Pada ketika itu (ketika Aguero dan Jesus bermain bersama) kami memiliki Mendy dan ketika memiliki Mendy, kami bermain luas dan pemain sayap itu boleh masuk ke dalam," jelas Guardiola.

City sudah melayakkan diri ke pusingan 16, yang membawa kepada spekulasi Guardiola mungkin menurunkan Brahim Diaz dan Phil Foden buat kali pertama di pentas Eropah.

"Mereka adalah dua pemain muda yang saya lihat sentiasa bersedia dalam latihan," kata bekas bos Barcelona itu. "Jika tidak, mereka tidak akan berlatih setiap hari bersama kami.

"Mereka perlu mempunyai kualiti untuk bersama kami. Mereka mempunyai kemahiran dan kualiti.

"Mereka akan memiliki banyak perlawanan dan pertandingan pada masa akan datang. Mereka perlu bersedia kerana kadang-kadang pengurus membuat kejutan," tambahnya.