McClean puas tutup mulut pengkritik

Oleh Penulis Jemputan 10 Oktober 2017 527
 McClean puas tutup mulut pengkritik
WALES 0 REPUBLIK IRELAND 1

James McClean berasa puas apabila dapat membuktikan sesuatu terhadap pihak yang meragui kemampuan Republik Ireland susulan kemenangan 1-0 ke atas Wales di Cardiff untuk mengesahkan slot play-off kelayakan Piala Dunia 2018, awal pagi tadi. 


McClean meledak gol pada separuh masa kedua untuk menghidupkan peluang Ireland mara ke Russia tahun depan selepas Wales yang kehilangan tonggak utama, Gareth Bale, tenggelam dengan kreativiti biarpun menguasai permainan, ditambah pula dengan kehilangan Joe Allen akibat kecederaan pada babak awal.

Ini merupakan kali ketiga McClean memainkan watak wira dalam kempen ini dan dia berasa puas dengan keperitan yang mereka alami. 

"Sukar dipercayai. Tiada perasaan lebih baik daripada ini," katanya kepada Sky Sports. 

"Ramai yang mengetepikan peluang kami dan tidak memberi kami peluang -- apatah lagi kami memerlukan kemenangan. 

"Tetapi, kami telah mempamerkan karakter dan kualiti. Kami berhempas-pulas dan kami akan menikmatinya. 

"Ia satu gerakan cantik yang hadir secara tiba-tiba. Harry Arter membuat helah gerak badannya, saya tidak pasti dia tahu saya ada di belakangnya atau tidak, lalu saya hanya memberi tumpuan untuk merembat rendah. 

"Pada saat bola itu menyentuh jaring, tiada perasaan lain yang lebih hebat selain daripada itu di atas padang," katanya.

McClean berharap mereka dapat menggunakan kesempatan daripada kemenangan penting ini untuk berdepan pasukan dalam pertemuan play-off nanti. 

"Kami belum lagi layak. Ia kemenangan mustahak dan kami akan menikmatinya, namun ia tidak akan membawa apa-apa makna jika kami gagal untuk layak. 

"Kami akan berseronok malam ini dan tidak sabar untuk mengetahui siapa lawan kami nanti," katanya lagi.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen