Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, menyifatkan rakan sepasukannya, Kylian Mbappe, sebagai satu fenomena dan sangat istimewa sebaik penyerang itu menjaringkan empat gol menakjubkan ke atas Olympique Lyon.

Mbappe menghancurkan reputasi seteru tradisi mereka itu di sebalik kemenangan 5-0 PSG dalam saingan Ligue 1 di Paris, awal pagi tadi.

Selepas membantu Neymar memperoleh jaringan penalti pada babak pertama, penyerang berusia 19 tahun itu menjaringkan empat gol dalam tempoh 13 setengah minit untuk mengekalkan rekod cemerlang PSG sejak awal musim.

Neymar memuji Mbappe dalam satu sidang media selepas perlawanan: "Kylian seorang yang istimewa, saya amat menghormatinya.

"Kami mempunyai hubungan baik, saya gembira dia menjaringkan gol. Saya harap dapat membantunya meraih lebih banyak gol seperti ini kelak," kata Neymar.

"Berkongsi kepimpinan dengannya? Itu sudah pasti. Saya tahu nilai saya dan tekanan yang datang dengannya. Saya tahu tanggungjawab saya tetapi kami mempunyai pemain-pemain yang berkualiti dan mereka tahu tanggungjawab mereka.

"Kylian salah seorang daripada mereka. Dia mengetuai aspek teknikal dan kami menghormatinya. Setiap kali dia membuka mulut, kami akan mendengar dan memahaminya tanpa mengambil kira umurnya yang muda.

"Ini adalah pasukan di mana setiap orang tahu kepentingan masing-masing. Saya mahu mengucapkan tahniah kepadanya. Dia mungkin dapat menjaringkan lebih banyak gol.

"Bagi saya, dia satu fenomena. Saya harap dia dapat meneruskannya untuk tahun-tahun yang akan datang kerana sukan bola sepak pasti akan berterima kasih kepadanya," tambah Neymar.