Kylian Mbappe berasa sakit di pergelangan kaki kanannya ketika Perancis menewaskan Sweden 1-0 dalam Liga Negara-Negara Eropah awal pagi tadi tetapi penyerang itu percaya ia bukanlah kecederaan yang serius.

Mbappe menjaringkan gol kemenangan menerusi satu-satunya percubaan tepat skuad Les Bleus itu dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A3 dan bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-77 selepas menerima terjahan di kakinya.

Pemain berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan buku lali ketika PSG menewaskan Saint-Etienne dalam final Coupe de France pada 24 Julai lalu dan hanya pulih tiga minggu kemudian untuk beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah.

Perancis akans bertemu Croatia di Paris awal pagi Rabu ini dan Mbappe yakin dia akan cukup cergas untuk beraksi dalam perlawanan itu.

"Ia sedikit sakit. Saya menerima terjahan tetapi ia akan kembali pulih, jadi tidak mengapa," katanya kepada M6.

"Kami akan berehat secukupnya dan beraksi dengan lebih baik ketika menentang Croatia.

"Kami akan berusaha. Jurulatih yang akan menentukan untuk saya bermain," katanya.

France mempamerkan aksi goyah ketika meraih kemenangan di Arena Friends itu dengan formasi 3-4-3 yang digunakan Didier Deschamps gagal membuahkan hasil seperti yang diharaapkan daripada trio penyerang, Mbappe, Olivier Giroud dan Antoine Griezmann.

Sweden memberikan tekanan pada penghujung permainan demi mencari gol penyamaan tetapi mereka dikejutkan apabila Anthony Martial -- yang masuk menggantikan Mbappe -- memperoleh sepakan penalti dalam waktu kecederaan tetapi peluang itu disia-siakan Griezmann dengan sepakan yang tersasar.

Mbappe turut mengakui pasukan juara dunia itu hanya mempamerkan sedikit aksi yang meyakinkan dalam perlawanan itu.

"Ia satu perlawanan yang rumit. Kami berjuang dengan baik. Ia bukan mudah, kami mempunyai beberapa detik untuk diingati.

"Kami dapat melihat bahawa keadaan itu boleh menjadi lebih baik pada masa akan datang.

"Kami akan mencuba untuk menjadikan sistem ini berjaya tetapi perkara paling penting adalah kemenangan.

"Kami memulakan peringkat kumpulan ini dengan baik," katanya lagi.