Kylian Mbappe dinobat sebagai pemenang Trofi Telefoot 2017, anugerah untuk pemain muda terbaik Perancis bagi tahun ini.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu mengharungi tahun yang cemerlang, dengan jaringannya ketika bersama Monaco berjaya menempah slot ke separuh akhir saingan Liga Juara-Juara (UCL) dan menduduki takhta Ligue 1.

Pemain berusia 18 tahun itu berhijrah menyertai gergasi Perancis, PSG secara pinjaman dan telah mencetak tujuh gol setakat ini.

"Ya, satu lagi trofi, kami tidak akan berpuas hati," kata Mbappe. "Saya sangat gembira meraih gelaran ini dan berharap akan terus meraih lebih banyak gelaran selepas ini.

"Kemenangan gelaran Ligue 1 bersama Monaco dan berpindah ke PSG, ia dua perkara yang penting berlaku buat saya pada tahun 2017. Perkara ini telah membantu saya memenangi anugerah ini."

Mengakhiri saingan di tempat kedua di belakang Mbappe adalah penyerang Manchester United, Anthony Martial, yang kembali beraksi cemerlang di bawah kendalian Jose Mourinho.