Kylian Mbappe meraih penghargaan perdana Trofi Kopa, anugerah baru yang diberikan kepada pemain terbaik dunia bawah 21 tahun.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu merupakan salah seorang tonggak Perancis di bawah kendalian Didier Deschamps yang menjulang Piala Dunia 2018, Julali lalu.

Mencatat 32 gol dalam 56 perlawanan bagi semua kejohanan buat kelab dan negara bagi tahun ini, Mbappe mengatasi beberapa pencabar lain seperti pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold, serta bintang Amerika Syarikat yang menyarung jersi Borussia Dortmund, Christian Pulisic.

"Saya gembira menerima anugerah ini," kata Mbappe.

"Ia adalah hadiah bagi tahun terbaik dan saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan di PSG dan skuad kebangsaan.

"Saya tidak akan melupakan perjalanan di pentas Piala Dunia. Ia waktu terbaik untuk mengucapkan terima kasih. Ia juga menjadi satu motivasi untuk terus bekerja keras.

"Sasaran saya seterusnya? Mahu memenangi semua trofi. Ia memerlukan kerja keras dan bantuan daripada rakan sepasukan."

Mbappe muncul penjaring terbanyak dalam lima liga terbaik Eropah musim ini dengan 12 gol dan menjadi satu-satunya nama yang berada dalam senarai pendek Trofi Kopa walaupun turut disenaraikan selaku calon bagi Ballon d'Or.

Walaupun Luka Modric mengungguli anugerah utama France Football itu, pemain berusia 19 tahun itu tetap menemapatkan diri dalam kelompok lima terbaik.

France Football turut mengumumkan pemenang Ballon d'Or bagi kategori wanita tatkala pemain Norway, Ada Hegerberg, diumumkan pemenang.

Penyerang Lyon itu membantu kelabnya memenangi Liga Juara-Juara Eropah Wanita buat kali ketiga berturut-turut dan turut menyumbat gol ketika menundukkan Wolfsburg dalam final.

Pemain Brazil, Marta, bintang Amerika Syarikat, Megan Rapinoe dan Lindsey Horan, tonggak England, Lucy Bronze dan Fran Kirby, serta wakil Kanada dan Belanda, Christine Sinclair dan Lieke Mertens, juga berada dalam senarai pendek.

Turut bersaing dalam senarai itu adalah trio Perancis, Wendie Renard, Amandine Henry and Amel Majri, Sam Kerr (Australia), Saki Kumagai (Jepun), Dzsenife Marozsan (Jerman) serta Pernille Harder (Denmark).

"Saya tidak tahu apa mahu dikatakan, ia hebat," ujar Hegerberg.

"Ini adalah detik terbaik buat saya. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan saya. Tanpa anda, ia tidak akan berlaku, terima kasih!"