Bintang Piala Dunia, Kylian Mbappe, kekal tenang dan bersedia mengulangi aksi cemerlangnya ketika pusingan kedua apabila Perancis berdepan Uruguay bagi saingan suku akhir malam ini, kata Hugo Lloris.

Mbappe menjaringkan dua gol dan mendapatkan satu sepakan penalti ketika mempamerkan persembahan cemerlang untuk membantu Les Bleus menundukkan Argentina 4-3 di Kazan.

Permainan pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu mengundang pelbagai pujian di seluruh dunia, termasuk legenda Brazil yang menjadi pemain muda terakhir mengutip dua gol dalam satu perlawanan Piala Dunia pada 1958, Pele.

Lloris menegaskan rakan sepasukannya itu sedar akan keperluannya untuk membuktikan kemampuan di pentas tertinggi tetapi tidak terbeban dengan harapan yang diberikan.

"Dia(Mbappe) masih pemain yang sama, menjadi diri sendiri, sentiasa tersenyum dan tenang," kata Lloris.

"Dia merupakan pemain dengan cita-cita tinggi, mampu memberikan sumbangan besar buat pasukan, sama ada untuk PSG atau Perancis. Mbappe memiliki masa depan yang cerah dan dalam masa sama, dia sedar bahawa apabila peluang tiba, dia perlu menggunakan kesempatan itu, melakukan apa sahaja agar tidak terlepas.

"Dia bersedia membantu pasukan. Saya rasa seluruh dunia menyaksikannya menyinar sewaktu menentang Argentina kerana dia sangat fokus," ujarnya.

Dalam masa sama, Lloris juga memuji permainan Paul Pogba yang semakin matang setelah turut menampilkan permainan bertenaga semasa menghadapi Argentina.

"Dia semakin matang, berkembang dan ternyata telah meraih pengalaman bersama Manchester United dan Juventus.

"Pogba juga berkembang di dalam bilik persalinan, muncul sebagai ketua sebenar dan bercita-cita besar.

"Kita semua tahu bahawa dia seorang pemain yang berbakat dan mampu menyumbang kepada pasukan serta rakan sepasukan.

"Kejohanan ini menjadi medan terbaik untuk mempamerkan bakat dan ia digunakan sebaik-baiknya oleh Pogba."

Penyerang Uruguay, Edinson Cavani, dilihat bergelut untuk turun beraksi menentang Perancis akibat kecederaan tetapi Lloris menegaskan bahawa pasukannya melakukan kesilapan besar jika memandang rendah lawan walaupun tanpa kelibat penyerang utama PSG itu.

"Cavani adalah simbol buat PSG. Dia menjaringkan banyak gol. Dia adalah pemenang, ketua, sangat dihormati di Perancis sebagai pemain dan juga sebagai seorang lelaki kerana sifatnya.

"Sudah pasti Cavani dan Luis Suarez merupakan salah satu gandingan serangan terbaik ketika ini tetapi saya harus mengatakan sekali lagi, Uruguay adalah pasukan yang sukar untuk serangan balas serta tidak mudah untuk mengekang mereka," tambah Lloris.