Kylian Mbappe dipinggirkan daripada skuad Paris Saint-Germain (PSG) yang akan bertandang ke laman Brest bagi perlawanan Ligue 1 awal pagi esok, namun Mauro Icardi disahkan cergas untuk diturunkan.

Pemain kebangsaan Perancis itu terpaksa direhatkan kerana mengalami kecederaan otot ketika menewaskan Club Brugge 1-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi kelmarin.

Situasi itu turut menjejaskan peluangnya untuk memperkuatkan skuad kebangsaan Perancis dalam pusingan kelayakan Euro 2020 menentang Moldova dan Albania, masing-masing pada Khamis dan Ahad depan.

Rakan gandingannya di bahagian serangan, Icardi, turut mengalami kecederaan kaki dalam perlawanan itu -- di mana dia menjaringkan gol tunggal perlawanan -- namun dimasukkan dalam senarai 19 pemain yang dipilih pengurus, Thomas Tuchel.

Seperti yang disahkan PSG semalam, Ander Herrera tidak dapat menyertai kunjungan itu kerana mengalami kecederaan paha manakala Thilo Kehrer dan Thomas Meunier turut tidak dapat beraksi sehingga tamat waktu rehat antarabangsa.

Kunjungan ke Brest itu juga masih terlalu awal buat Neymar, yang akan menjalani latihan penuh bermula minggu depan selepas sebulan direhatkan.

PSG mengalami kekalahan liga yang ketiga minggu lalu selepas tunduk 1-2 kepada Dijon, namun mereka masih berkelebihan tujuh mata di puncak Ligue 1.