Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, mendedahkan bahawa dia mengadakan perbincangan dengan Real Madrid sebelum berpindah ke ibu kota Perancis walaupun menegaskan ia berlaku pada masa lalu.

Perpindahan Mbappe ke juara Sepanyol dan Eropah, Madrid, menjadi spekulasi hebat selepas dia membantu Monaco menjuarai Ligue 1 pada 2016-17.

Pemain berusia 19 tahun itu menjaringkan 27 gol dalam semua pertandingan dan akhirnya menyertai barisan pemain seperti Neymar dan Edinson Cavani di PSG -- secara pinjaman sepanjang musim -- walaupun bercakap dengan Madrid, yang akan dihadapinya dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara.

"Memang benar kami berbincang tetapi saya fikir ia sudah lama berlaku buat saya dan Real Madrid," kata Mbappe kepada Marca.

Peralihan dari Stade Louis II ke Parc des Princes berjalan lancar buat Mbappe yang telah menjaringkan 12 gol dalam semua pertandingan.

Lapan jaringan liga Mbappe membantu PSG menduduki tangga teratas dengan kelebihan sembilan mata sementara pemain antarabangsa Perancis itu turut menjaringkan empat gol dalam Liga Juara-Juara.