KAZAKHSTAN 0 BELGIUM 2

Roberto Martinez menyifatkan pasukannya sebagai duta terbaik buat Belgium selepas mengekalkan rekod cemerlang dalam saingan kelayakan Euro 2020 dengan menewaskan Kazakhstan.


Anak buah Martinez itu telah mengesahkan tempat ke pusingan akhir dan muncul pasukan pertama meraih tiket itu susulan kejayaan menewaskan San Marino 9-0, Khamis lalu.

Kemenangan 2-0 ke atas Kazakhstan semalam memastikan rekod kemenangan Belgium berlanjutan dan kini mereka memastikan gawang tidak dibolosi dalam tujuh perlawanan kelayakan berturut-turut.

Jaringan daripada Michy Batshuayi dan Thomas Meunier mengesahakan kemenangan itu tetapi Martinez mahu anak buahnya kekal fokus meskipun telah memastikan tempat ke Euro 2020.

"Kami memiliki sekumpulan pemain yang hebat," katanya.

"Anda mungkin dilahirkan dengan limpahan bakat tetapi komitmen yang pemain tunjukkan setiap kali beraksi, ia sangat hebat.

"Saya mendapat penghargaan untuk bekerjasama dengan kelompok pemain ini. Mereka adalah duta hebat untuk Belgium dan saya berbangga dengannya.

"Jika kami mahu lebih kritikal, kami harus menjaringkan lebih banyak gol. Namun, ia tidak mengganggu saya.

"Kini, kami perlu meraikannya menjelang aksi penting di Russia. Kami mahu menamatkan kempen ini dengan berjaya."

Dennis Praet membantu Batshuayi membuka tirai jaringan dalam penampilan penuh pertama buat Belgium.

"Tidak mudah untuk berada di sini," kata pemain tengah Leicester City itu.

"Kazakhstan bermain dengan agresif dan kami perlu menyesuaikan diri dengan permukaan tiruan.

"Sudah tentu mudah untuk bermula dalam pasukan yang sentiasa meraih kemenangan."