BELGIUM 2 ICELAND 0

Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez, memuji Michy Batshuayi yang melupakan kekecewaan dalam babak pertama untuk menjaringkan dua gol bagi membantu kemenangan ke atas Iceland dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi tadi.


Penyerang Valencia itu tidak terkesan dengan aksi hambarnya di peringkat domestik dengan dia bangkit memberikan momentum kemenangan buat skuad kendalian Martinez itu yang hanya memerlukan satu mata dalam perlawanan terakhir menentang Switzerland, hujung minggu ini.

Turun sekalu kesebelasan utama bagi menggantikan Romelu Lukaku yang cedera, Batshuayi akhirnya memperoleh jaringan selepas sejam perlawanan dengan memanfaatkan lorongan baik kapten pasukan, Eden Hazard.

Penyerang berusia 25 tahun itu terlebih dahulu terlepas dua peluang terbaik dalam tempoh 20 minit pertama, namun dia menamatkan perlawanan dengan reputasi besar dengan menjaringkan gol kedua, berbaki sembilan minit terakhir perlawanan.

"Batshuayi mengalami kekecewaan dalam separuh masa pertama," kata Martinez kepada VTM.

"Dia kemudian bangkit menjaringkan gol. Saya gembira dia melakukannya sebanyak dua kali.

"Secara keseluruhan, dia bermain dengan amat baik.

"Dalam perlawanan seperti ini, kami perlu kekal fokus memburu jaringan dan menghasilkannya menerusi satu gerakan," tambahnya.

Belgium bergelut menumpaskan Iceland yang sudah tersingkir daripada saingan walaupun menurunkan kesebelasan terbaik mereka.

Keputusan itu, bagaimanapun, tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan dalam Kumpulan 2 Liga A.